14 Julai 2013 - 19:30
Sunni dan Syiah Lubnan bersatu melawan fitnah mazhab

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Perdebatan tentang persengketaan antara dua mazhab besar dalam Islam - Sunni dan Syiah - menjadi perhatian di Lubnan, sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga disusuli dengan serangan yang tercetus di antara kedua-dua belah pihak. Antara keganasan yang terbaru ialah serangan roket yang menggegarkan kawasan penduduk Syiah pada awal minggu ini. Selain itu terdapat percubaan bunuh dua ulama Sunni pada bulan Jun lalu.Media antarabangsa pula telah memperalatkan insiden itu dengan mencanangkannya sebagai konflik perbalahan Sunni-Syiah di Lubnan. Namun ulama Lubnan menegaskan bahawa tidak terdapat jurang antara kedua-dua mazhab tersebut dan serangan-serangan itu telah didalangi oleh gabungan pelampau yang berhasrat mencetuskan perseteruan di kalangan umat Islam.Selain itu ada pendapat yang menuduh bahawa ahli-ahli politik di Lubnan cuba mencari keuntungan dengan mewujudkan ketegangan mazhab.Walaupun sistem politik Lubnan sering dilihat mengalami pergolakan, namun masyarakat awam Syiah dan Sunni sentiasa menikmati kebebasan hidup yang dinamik akibat kebangkitan para aktivis yang memperjuangkan nasib mereka.Ulama Islam di Lubnan pula percaya golongan agamawan bertanggungjawab menganjurkan usaha-usaha menghapuskan persengketaan antara Sunni dan Syiah di samping menggalakkan perpaduan.Speaker Lubnan Nabih Berri sebelum ini telah mendedahkan bahawa terdapat lebih 362,000 keluarga Lubnan mempunyai ibu dan bapa yang berpegang dengan salah satu mazhab besar ini, iaitu samada Sunni atau Syiah; jumlah ini dianggap cukup besar bagi sebuah negara yang mempunyai populasi 4 juta penduduk. Sebahagian ulama pula menegaskan bahawa kedua-dua mazhab ini memiliki kepercayaan yang sama. Mereka turut memberi amaran bahawa golongan yang mahu mewujudkan persengketaan sesama umat Islam di Lubnan tidak akan mencapai misinya.